Semasa memijak kepingan papan yang dipenuhi paku, segala tumpuan dan fikiran harus fokus kepada Dewa Murugan dan Dewi Thurga untuk mendapat fokus, ketenangan, mengelakkan kecelakaan dan memudahkan amalan menggunakan kereta paku yang unik ini.
APABILA sambutan Thaipusam tiba pada setiap tahun, penganut-penganut agama Hindu di seluruh negara sibuk membuat pelbagai persiapan dan persediaan bagi membayar nazar kepada Dewa Murugan. Nazar ini dilakukan melalui pelbagai cara mengikut kerelaan, keinginan dan kesesuaian emosi dan fizikal para penganut Hindu.
Upacara membayar nazar pada sambutan Thaipusam menjadi satu tradisi yang unik dan suci yang diamalkan secara turun temurun oleh penganut agama Hindu di negara ini dan seluruh dunia. Ada yang membawa belanga yang berisi susu atau Paal Kodum dengan berpakaian kuning sementara segelintir pula mengangkat kavadi yang dihiasi indah dengan helaian bulu burung merak.
Tetapi bagi S. Suppayah, 44, seorang tukang kayu dari Pelabuhan Klang, Selangor, cara dia membayar nazar kepada Dewa Murugan sempena sambutan Thaipusam pada tahun ini agak berbeza daripada kebiasaan. Ini kerana dia akan membayar nazar melalui cara yang aneh dan menakjubkan.
Memiliki rambut panjang dan berpakaian serba merah, Suppayah ketika ditemui KOSMO! berkata, dia kini sibuk menghasilkan sebuah kereta atau pedati yang diperbuat daripada kayu.
Menurutnya, seluruh badan dan lantai pedati itu telah dipasang dengan ratusan paku yang tajam.
Ternyata cara nazar ini dibayar agak pelik dan aneh. Namun, tukang kayu yang lebih mesra dengan panggilan ‘Kali Koil Raja’ ini sanggup berbuat sedemikian semata-mata untuk memastikan hajatnya dimakbulkan oleh Dewa Murugan sekali gus mendapat restu serta rahmat daripada dewa itu untuk selama hayat hidupnya.
Proses menghasilkan pedati paku ini bukan satu perkara yang mudah. Banyak masa dan tenaga perlu dikorbankan. Pengorbanan sedemikian amat diperlukan bagi memperoleh pedati yang sempurna dan cantik.
“Saya memulakan kerja-kerja membuat pedati ini sejak seminggu sebelum perayaan Thaipusam di kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Selangor yang jatuh pada hari ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Betek, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.
Suppayah memberitahu dia menyediakan segala peralatan dan bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kereta tersebut dengan membelinya di beberapa buah kedai di sekitar Pelabuhan Klang.
Katanya, bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat pedati itu akan disembahyangkan menerusi satu upacara khas di kuil. Upacara khas ini dilakukan bagi memberi kekuatan pada bahan-bahan tersebut serta mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini ketika pembayaran nazar dilakukan sempena Thaipusam.
“Selain upacara khas, saya juga menjalankan ibadah berpuasa dan hanya memakan sayur-sayuran selama 11 hari sepanjang proses menghasilkan pedati paku ini.
“Amalan berpuasa ini amat dititikberatkan dalam proses penyediaan bahan-bahan untuk upacara atau sambutan yang berbentuk agama. Ini kerana, amalan sedemikian secara tidak langsung menjadikan diri kita lebih berdisiplin serta membantu untuk memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap rekaan yang dihasilkan,” ujarnya yang mula menghasilkan pedati seumpama ini selama tiga tahun yang lalu.
Jelasnya, walaupun ia diperbuat daripada papan dan paku yang biasa, namun beliau akan memastikan bahan-bahan yang digunakan mempunyai kualiti tinggi dan mampu menampung serta menahan berat badannya yang akan menaikinya kelak.
Menariknya, dia telah menggunakan sebanyak kira-kira 10,000 batang paku besar dan tajam yang dipaku di seluruh bahagian badan pedati ini.
Katanya, kebanyakan paku diperlukan untuk menyediakan ruang tempat duduk manakala bahagian tangga pula memerlukan sebanyak 500 sehingga 1,000 batang paku bagi setiap empat anak tangga yang terdapat pada pedati itu.
“Selepas ini, paku-paku itu akan disembur dengan cat berwarna putih dan dijemur di bawah matahari selama dua hari,’’ katanya sambil memberitahu, semasa memaku dia perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada pembuatan proses itu.
Ini kerana katanya, jika tiada tumpuan maka besar kemungkinan pedati paku itu akan mencederakan anggota badan mereka yang menaikinya.
“Kaedah memaku sahaja akan mengambil masa selama empat hingga lima hari kerana kadang kala paku akan patah atau bengkok akibat hentakan yang terlalu kuat. Jadi, saya terpaksa membuat sekali lagi supaya ia selamat digunakan,” kata Suppayah yang mendapat ilham membuat pedati paku itu daripada pemerhatiannya terhadap pedati di negeri lain seperti di Pulau Pinang dan Perak.
Lelaki yang bertubuh tegap ini memberitahu, susunan paku yang teliti dan teratur memainkan peranan penting dalam pembinaan pedati ini. Susunan paku yang tidak teratur boleh mengakibatkan kaki mudah tercucuk pada paku yang tajam ini sehingga mencederakan kaki seseorang.
Apabila melontarkan soalan, bagaimana beliau dapat berdiri dan menari di atas pedati paku tanpa mendapat sebarang kecederaan, katanya, sebelum memulakan upacara membayar nazar dengan menaiki pedati paku menuju ke Batu Caves, beliau akan sembahyang dan melakukan aktiviti yoga.
Katanya, aktiviti yoga ini membantu menenangkan fikiran dan meningkatkan kekentalan jiwa.
“Semasa memijak paku-paku ini, segala tumpuan dan fikiran harus fokus kepada Dewa Murugan dan Dewi Thurga. Jika tidak fokus dan fikiran bercelaru maka situasi itu akan mengundang perkara yang tidak diingini. Tanpa ketenangan jiwa memang sukar untuk berdiri, duduk dan menari di atas pedati yang unik ini,” jelasnya.
Pedati paku milik Suppayah ini, turut dihiasi dengan bumbung yang menaungi tempat duduk dengan reka bentuk seperti kepala ular. Dia juga menggunakan lampu hiasan dan pelbagai jenis bunga seperti melor dan mawar bagi menyerikan pedati yang dihasilkannya itu.
Setakat ini, dia telah berbelanja sebanyak RM1,000 untuk menghasilkan pedati paku itu dan kos itu termasuk membeli barang-barang hiasan yang biasanya agak mahal kerana diimport dari India.
Setiap tahun sempena sambutan Thaipusam, Suppayah akan berkunjung ke kuil terkenal di Batu Caves untuk membayar nazar dan beliau berhajat akan meneruskan amalan suci dan penuh bermakna ini sepanjang hidupnya agar Dewa Murugan mencucuri rahmat kepada keluarga dan sanak saudaranya.
Rasa seperti dipukau
PARA penganut Hindu mula berkumpul di kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Selangor pada hari ini. Perarakan membawa kavadi dan belanga berisi susu bermula ketika fajar menyingsing dari kuil Mahamariaman di Jalan Tun Hs Lee, Kuala Lumpur. Setibanya di Batu Caves, mereka akan menaiki sebanyak 272 anak tangga sehingga pintu masuk gua di kuil tersebut. Sejurus itu, upacara membayar nazar akan dilakukan dengan menyembah Dewa Murugan bagi menyucikan diri.
Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh penganut Hindu di seluruh dunia bagi menghormati Dewa Murugan yang juga dikenali sebagai Dewa Subramanian. Sambutan Thaipusam diraikan pada bulan Thai yang ke-10 dalam kalendar Tamil iaitu ketika bulan penuh melintasi bintang terang dikenali Pusam dalam zodiak Cancer.
Bagi penganut Hindu, Thaipusam merupakan satu perayaan yang disambut secara besar-besaran di seluruh Malaysia. Sambutan yang gilang-gemilang pastinya di kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Selangor.
Perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya, Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak setinggi tujuh meter bermula dari kuil Mahamariaman di Jalan Tun Hs Lee, Kuala Lumpur. Kesemua arca itu diarak dengan iringan muzik ke kuil di Batu Caves sehari sebelum Thaipusam.
Arca tersebut akan dikembalikan ke kuil Mahamariaman pada malam sambutan Thaipusam bersama pedati perak.
Sebelum sambutan Thaipusam, penganut Hindu akan membersihkan jiwa mereka dengan berpuasa selama sebulan. Mereka sering mengunjungi kuil dan hanya makan hidangan sayur-sayuran sekali sehari. Manakala 24 jam sebelum membawa kavadi, mereka diwajibkan berpuasa sepenuhnya.
Setelah mendapatkan restu daripada Tuhan, mereka juga akan memecahkan kelapa sebagai tanda terima kasih kerana memakbulkan hajat dan niat mereka selama ini.
Upacara kemuncak sambutan Thaipusam adalah membawa kavadi iaitu kerangka besi separuh bulatan dengan galang yang diletakkan di atas bahu pembayar nazar. Kavadi ini telah dihiasi dengan bunga-bungaan dan bulu merak. Para penganut membawa kavadi sebagai tanda membayar nazar dan bertaubat kepada Dewa Murugan.
Segelintir yang lain akan memakai kasut paku dan ada juga mengenakan vel yang menembusi pipi, lidah dan badan mereka. Bagaimanapun, ketika upacara itu berlangsung, mereka berada dalam keadaan bersawai atau seperti dipukau dan ini menyebabkan mereka tidak berasa sakit.
Di Malaysia, sambutan Thaipusam turut disambut dengan meriah di kuil Gunung Cheroh Sri Subramaniar, Ipoh, Perak; kuil Arulmigu Balathandayuthabani, Pulau Pinang serta tiga kuil di Johor iaitu kuil Sri Muniswarar di Tampoi dan kuil Sri Subramaniar di Jalan Kolam Air serta kuil Arulmigu Thendayuthapani di Jalan Kuel, Johor Bahru.
Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
No comments:
Post a Comment